Sunday, October 6, 2024

Pemegang lesen B2/B1 boleh semak kelayakan, mohon tukar ke B di Institut Memandu mulai hari ini

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan bahawa pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 yang layak boleh membuat permohonan bagi mengikuti Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 kepada LMM Kelas B di mana-mana Institut Memandu (IM) yang terpilih di seluruh Malaysia bermula hari ini, 1 Oktober 2024.


Ia adalah selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkenaan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 Kepada LMM Kelas B.


“Pemegang LMM Kelas B2/ B1 boleh membuat semakan syarat-syarat kelayakan bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 kepada LMM Kelas B melalui aplikasi MyJPJ, portal mySIKAP awam (https://public.jpj.gov.my) atau berkunjung ke kaunter JPJ.


Pemegang lesen B2/B1 boleh semak kelayakan, mohon tukar ke B di Institut Memandu mulai hari ini


“Sekiranya layak, pemohon boleh hadir ke mana-mana IM yang terpilih di seluruh Malaysia yang menawarkan Lesen Memandu Motosikal Kelas B dan mendaftar untuk mengikuti program tersebut dan pemegang lesen hendaklah membuat pengesahan kendiri kesihatan tubuh badan/fizikal/minda semasa pendaftaran di IM,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.


Dalam masa yang sama, JPJ turut berkata, kadar siling fi kepada IM bagi ini adalah RM160. “Kadar fi ini adalah merangkumi pendaftaran dan insurans pelajar, kursus peralihan dan penyesuaian (dua Jam), fi perkhidmatan (termasuk sewaan kenderaan dan litar) dan fi ujian JPJ,” tambahnya lagi.


Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B adalah bertujuan untuk menaik taraf pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/ B1 kepada Kelas B tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dan tiada lagi permohonan baharu bagi mendapatkan LMM Kelas B1 di IM.


Pemegang lesen B2/B1 boleh semak kelayakan, mohon tukar ke B di Institut Memandu mulai hari ini


Syarat-syarat terbabit ialah individu yang telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minima 10 tahun. Di mana syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar. Selain itu, pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.


Syarat seterusnya ialah perlukan pengesahan sihat tubuh badan/fizikal/minda secara deklarasi kendiri oleh individu, menghadiri dan lulus program peralihan dan penyesuaian untuk kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di IM melibatkan program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pemanduan/pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh dua jam.


Sebelum ini, Loke turut berkata pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar dikeluarkan oleh Qualified Training Officer (QTO) di IM. “Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang mengendalikan motosikal berkuasa besar demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu tersebut,” katanya.


Posted in Bahasa Malaysia, Berita Tempatan / By Izwaashura Sadali / October 1 2024 5:52 pm

No comments:

Post a Comment